Menu Utama Mengenai Akuarium Maklumat Pengunjung Profil Hidupan Marin Lawatan Maya Berita & Pameran  
SEJARAH AKUARIUM

Akuarium Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) mula dibina pada tahun 1995, selari dengan penubuhan bangunan baru IPP di Batu Maung, Pulau Pinang. Akuarium ini dibina bertujuan untuk memenuhi kehendak pendidikan awam dan kesedaran terhadap flora dan fauna marin tempatan, serta pemuliharaan sumber marin.

Penekanan diberikan terhadap ekosistem marin & karang, terutama spesis ikan karang yang dipamerkan bagi tinjauan umum dan juga untuk tujuan kajian. Akuarium ini juga berperanan sebagai tempat menjalankan simulasi ekosistem karang yang dijalankan oleh para penyelidik daripada IPP bagi mengutip maklumat serta data habitat marin. Akuarium ini telah dibuka secara rasmi oleh YB Datuk Ketua Pengarah Perikanan Malaysia pada pertengahan 2001. Semenjak pembukaannya seramai lebih 50,000 orang pengunjung tempatan dan luar telah menikmatinya. Akuarium ini dibiayai oleh Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia bagi menyelia kemudahan-kemudahannya, dan juga mengembangkan pameran berpendidikan. Akuarium IPP mengandungi 25 tangki dengan tangki utama diletak di auditorium yang bercirikan panggung. Auditorium tersebut boleh memuatkan seramai 100 pelawat pada satu-satu masa dan juga digunakan sebagai tempat untuk seminar, bengkel dan perjumpaan anjuran institut dan Jabatan Perikanan.