PEMAHAMAN ASAS - ASAS MUTUAIR : PANDUAN MUDAH UNTUK PENTERNAK Zulkafli Abd. Rashid PUSAT PENYELIDIKAN
PERIKANAN AIRTAWAR |
Pra-kata
Bagi membantu para penternak ikan memahami dengan lebih baik mengenai sifat-sifat air yang secara langsungnya akan memudahkan para penternak untuk menguruskan aktiviti ternakan ikan masing-masing, disini diberikan sedikit nota yang diharap akan dapat membantu para penternak menjalankan usaha ternakan dengan lebih berjaya.
Sebagaimana yang diketahui, air adalah merupakan media
untuk kehidupan ikan dan lain-lain organisma air, seperti juga udara kepada manusia dan
lain-lain hidupan darat. Oleh itu adalah penting bagi para penternak memahami kehendak
ikan (organisma air) yang diternak bagi mendapatkan hasil yang tinggi seperti yang
diharapkan. Dibawah ini adalah perkara-perkara yang dijangkakan perlu untuk pengetahuan para penternak.
Pengenalan
Kepentingan kualiti air dalam akuakultur
Semua ikan, seperti juga semua organisma air, menjalankan semua fungsi kehidupan dalam air. Oleh kerana ikan amat bergantung kepada air untuk mendapatkan oksigen untuk bernafas, mencari makanan dan membesar, mengimbangi kandungan garam dalam badan, mengeluarkan bahan buangan dari proses perkumuhan, dan mengawan dan membiak, maka adalah penting bagi penternak memahami kualiti air, samada dari segi fizikal dan kimia, adalah kritikal bagi menentukan aktiviti akuakultur yang dijalankan dapat memberikan pulangan yang diharapkan. Kejayaan operasi akuakultur amat bergantung kepada kualiti air yang baik!!
Sifat fizikal air
Air merupakan satu media yang dapat menampung jumlah haba yang besar tanpa peningkatan suhu yang tinggi. Sifat ini dinamakan Dayatampung haba "heat capacity" yang mempunyai implikasi keatas ikan dan lain-lain organisma akuatik. Sifat ini dapat menjadikan air sebagai penampan kepada perubahan suhu yang luas. Semakin besar satu-satu badan perairan itu, semakin perlahan perubahan suhu boleh berlaku.
Keseimbangan air dalam ikan
Kebanyakan bahan buangan nitrogen oleh organisma darat adalah melalui buah pinggang. Sebaliknya, bagi ikan pula, fungsi mengeluarkan bahan nitrogen adalah melalui insang (ammonia adalah bahan utama yang dibuang!!). Insang ikan adalah amat telus kepada air dan garam. Kalau dilaut, kemasinan air adalah lebih tinggi dari bahan cecair ikan. Dalam persekitaran yang sedemikian, ikan air masin akan meminum air laut dengan banyak dan mengeluarkan sejumlah kecil air buangan yang mempunyai kepekatan garam yang tinggi.
Bagi ikan-ikan airtawar pula, keadaan sebaliknya berlaku. Garam akan sentiasa dikeluarkan melalui insang dan sejumlah air yang banyak akan meresap masuk kedalam badan ikan melalui kulit dan juga insang ikan. Ini adalah kerana kepekatan garam dalam badan ikan adalah lebih tinggi dari kepekatan garam dimana ikan tersebut hidup. Bagi mengimbangi jumlah resapan air yang banyak, maka ikan airtawar akan mengeluarkan sejumlah air yang banyak melalui buah pinggang. Oleh itu, kita dapati kepekatan garam dalam air buangan ikan airtawar adalah amat rendah. Dengan memahami kepentingan menjaga keseimbangan air dalam ikan airtawar, maka kita dapat memahami kenapa sedikit garam perlu dilarutkan kedalam air yang digunakan untuk mengangkut ikan hidup dari satu tempat kesatu tempat yang lain.
Punca ( sumber ) bekalan air
Didalam aktiviti akuakultur, terutamanya yang dilakukan secara komersial, air selalunya adalah faktor penghad. Banyak faktor kimia dan persekitaran yang negative didalam operasi akuakultur berpunca dari dari sumber air yang digunakan. Oleh itu amatlah penting pemilihan tapak untuk aktiviti akuakultur dibuat berdasarkan kepada kualiti dan juga kuantiti air yang terdapat. Punca (sumber) bekalan air yang selalu digunakan untuk aktiviti akuakultur selalu diperolehi dari sungai, terusan, tasik/empangan, dan juga air bawah tanah.
Kuantiti air
Bagi memulakan sesuatu aktiviti akuakultur, ramai diantara para penternak kurang mengambil berat mengenai kuantiti air yang diperlukan untuk aktiviti tersebut. Bagi penternak yang ingin menjalankan aktiviti akuakultur secara komersial, keperluan air hendaklah dijadikan salah satu dari faktor utama didalam peringkat perancangan lagi. Secara amnya, kadar aliran minima air (40 liter per minit) adalah diperlukan bagi permukaan kolam seluas 0.25 hektar. Dengan mengambilkira faktor ini, seseorang yang ingin menjalankan aktiviti ternakan seluas 25 hektar perlu memastikan bahawa keprluan air yang mencukupi dapat diperolehi (4000 liter per minit). Jumlah air yang bayak itu adalah bagi menggantikan jumlah air yang hilang melalui proses evaporasi dan juga resapan. Selain dari itu penternak juga perlu mengisi banyak kolam terutama semasa musim pembiakan (kepada yang menjalankan aktiviti pembiakan selain dari ternakan!). Bagi sistem ternakan dalam "raceway" kadar aliran air yang sesuai adalah pada tahap 2000 liter per minit. Juga bagi sistem ternakan ikan secara air pusingan "recirculating system" memerlukan jumlah air yang agak banyak. Sekurang-kurang nya 5 - 7 % air perlu ditambah!
Faktor fizikal air
Suhu
Selepas kandungan oksigen terlarut, suhu air merupakan satu faktor yang penting kepada ikan. Ikan adalah organisma berdarah sejuk dan mempunyai suhu badan yang sama dengan suhu persekitarannya (air). Suhu air akan memberi kesan keatas aktiviti, pergerakan, makan, tumbesaran dan pembiakan semua ikan. Kadar metabolik ikan akan berganda setiap peningkatan suhu sebanyak 18o F. Secara amnya julat suhu yang sesuai bagi ikan-ikan dikawasan tropika adalah diantara 75 - 90 F (23.8-32.2o C).
Suhu air juga memainkan peranan didalam menentukan jumlah gas (oksigen, karbon dioksida, nitrogen,dll) yang boleh terlarut didalam air. Semakin sejuk air semakin banyak kandungan gas yang dapat terlarut. Suhu juga memainkan peranan didalam proses stratifikasi termal "thermal stratification". Keadaan sedemikian berlaku selalunya dibadan-badan perairan yang besar dan dalam, misalnya tasik/empangan. Bagi para penternak yang menjalankan aktiviti ternakan ikan dalam sangkar harus mengambil berat mengenai perkara ini. Air yang lebih sejuk adalah lebih berat dari air yang panas. Perbezaan yang sedemikian akan menyebabkan air tadi tidak dapat bercampur. Kandungan oksigen didasar tasik/empangan adalah lebih rendah (kandungan oksigen terlarut boleh menurun sehingga <1 mg/l), ini adalah disebabkan oleh proses fotosintesis hampir tidak berlaku. Didasar tasik/empangan juga akan berlaku proses pereputan bahan-bahan buangan. Keadaan yang sedemikian akan menyebabkan kandungan oksigen terlarut hampir-hampir menjadi sifar. Hujan lebat yang berterusan untuk beberapa hari boleh menyebabkan stratifikasi termal "pecah" dan air dibahagian bawah tasik/empangan akan bercampur dengan air dibahagian permukaan dan kematian ikan yang mendadak boleh berlaku.
Plankton
Kekeruhan air yang disebabkan oleh plankton (tumbuhan mikroskopik) dan zooplankton (haiwan mikroskopik) tidak akan memudaratkan ikan secara langsung. Fitoplankton bukan sahaja mengeluarkan oksigen malahan menjadi bahan makanan kepada zooplankton dan juga kepada beberapa jenis ikan (kap perak misalnya). Fitoplankton juga akan menggunakan ammonia yang dikeluarkan oleh ikan sebagai sumber nutriennya. Zooplankton pula adalah merupakan sumber makanan anak ikan yang utama (bagi ternakan dalam kolam!). Bagaimana pun para penternak harus memastikan bahawa tidak terdapat terlalu banyak rumpair didalam kolam kerana proses respirasi oleh rumpair yang berlaku pada waktu malam akan menggunakan oksigen yang ada. Selain dari itu pertumbuhan fitoplankton yang keterlaluan , dikenali sebagai ledakan "bloom", akan menyebabkan kekurangan oksigen dalam air secara mendadak. Ini berlaku apabila fitoplankton itu mati. Para penternak adalah dinasihatkan agar supaya sentiasa mengawasi kandungan oksigen dalam kolam ternakan. Perbezaan oksigen yang besar antara waktu siang dan malam akan membawa kepada keadaan kekurangan oksigen yang serius. Pastikan peralatan menambah bekalan oksigen dapat digunakan pada masa yang diperlukan!!
Bahan buangan ikan
Bahan buangan ikan yang terampai didalam air adalah satu perkara yang penting terutama didalam sistem ternakan air pusingan. Bahan pepejal terampai dan mendak selalunya banyak dihasilkan bagi setiap sistem ternakan ikan. Selalunya, bagi setiap kilogram ikan yang dihasilkan akan mengeluarkan satu kilogram bahan pepejal. Partikel-partikel bahan buangan ini adalah merupakan satu sumber yang utama yang boleh menyebabkan kualiti air menjadi buruk kerana bahan buangan ini boleh berkebolehan untuk meningkatkan beban nitrogen di dalam satu-satu sistem ternakan. Bahan buangan ini bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan kepada insang ikan tetapi juga boleh menyebabkan beberapa masalah lain terutamanya didalam sistem penapis biologi ( selalunya didalam sistem ternakan ikan dalam air pusingan ). Bahan buangan ikan ini boleh menyebabkan penapis biologi tersumbat, dan secara langsungnya akan membunuh "nitrifying bacteria" keran kekurangan oksigen. Bahan buangan yang berbentuk partikulat ini juga boleh menyebabkan perkembangan bakteria yang mengeluarkan ammonia.
Partikel tanah liat
Masalah kekeruhan air didalam kolam berpunca dari dari tebing kolam yang tidak diliputi oleh rumput, boleh juga disebabkan oleh punca air yang keruh, atau aktiviti ikan semasa makan yang terdapat didasar kolam. Kekeruhan yang melebihi 1000 mg/l boleh menyebabkan perubahan kepada tabii ikan. Tetapi jarang sekali kita mendapati nilai kekeruhan air kolam melebihi 1000 mg/l. Kekeruhan yang disebabkan oleh partikel tanah liat didalam kolam akan menyebabkan cahaya matahari tidak dapat menebusi lapisan air kolam, dan ini akan menghadkan proses fotosintesis. Pemendapan partikel tanah liat ini juga boleh membunuh telur ikan dan juga lain-lain organisma yang diperlukan oleh ikan yang terdapat didasar kolam. Bagi mengatasi masalah kekeruhan air kolam, dua cara boleh digunakan. Proses rawatan air ini perlulah dijalankan sebelum benih ikan dimasukkan !! Cara yang paling mudah ialah dengan menaburkan rumput kedalam kolam. Cara kedua pula ialah dengan menggunakan gypsum (tawas).
Faktor kimia air
Fotosintesis
Proses fotosintesis adalah merupakan satu proses biologi yang penting didalam ternakan ikan dalam kolam! Banyak parameter mutuair seperti oksigen terlarut, karbon dioksida, pusingan pH, bahan buangan nitrogenus, dikawal oleh reaksi fotosintesis yang dijalankan oleh fitoplankton. Secara ringkasnya, fotosintesis adalah proses yang dijalankan oleh fitoplankton yang menggunakan cahaya matahari bagi menukarkan karbon dioksida kepada bahan makanan (karbohidrat) dan melepaskan oksigen.
CO2 + H20 ===(cahaya matahari)====> CH2O + O2 bahan (pigment) yang bertanggungjawab dinamakan chlorofil |
Disebabkan oleh proses fotosintesis ini bergantung kepada
cahaya matahari, kandungan oksigen yang tinggi akan didapati didalam air kolam pada waktu
selepas tengahari ( antara pukul 3 - 5 petang !! ). Pada waktu malam, fotosintesis tidak
akan berlaku !! Sebaliknya pula, proses respirasi pula akan menjadi proses utama didalam
kolam. Proses ini akan menggunakan oksigen yang ada dan akan mengeluarkan karbon dioksida.
Harus diambil perhatian, proses respirasi ini sebenarnya berlaku setiap ketika, tidak
terkecuali waktu siang, tetapi masalah kekurang oksigen untuk respirasi tidak berlaku
kerana oksigen banyak dikeluarkan !! Masalah akan timbul diwaktu cuaca mendung yang
berpanjangan. Para penternak harus bersedia bagi menghadapi masalah kekurangan oksigen
didalam kolam ternakan.
Oksigen terlarut
Oksigen terlarut, adalah parameter kimia air yang terpenting didalam akuakultur. Kandungan
oksigen yang rendah adalah bertanggungjawab kepada kematian ikan yang banyak, samada
secara langsung atau tidak langsung, jika dibandingkan dengan lain -lain masalah mutuair
digabungkan. Seperti juga manusia, ikan memerlukan oksigen untuk proses respirasi
(bernafas). Jumlah oksigen yang diperlukan oleh ikan adalah bergantung kepada saiz, kadar
makan, tahap aktiviti, dan juga suhu. Anak ikan memerlukan jumlah oksigen yang lebih
dibandingkan dengan ikan yang lebih besar, kerana kadar metabolik anak ikan adalah lebih
tinggi !! Jumlah oksigen yang boleh terlarut didalam air adalah bergantung kepada suhu,
altitud, dan juga kemasinan.
Dalam keadaan semulajadi, kekurangan oksigen untuk ikan boleh dikatakan jarang berlaku. Tetapi, para penternak didalam usahanya untuk meningkatkan pengeluaran ikan, akan menebarkan jumlah ikan yang jauh lebih tinggi dari keadaan semula jadi. Oleh itu, para penternak juga harus mengambil langkah untuk meningkatkan kandungan oksigen didalam kolam ternakan mereka. Bagi ternakan ikan dalam air pusingan pula harus ingat bahawa bekalan oksigen perlu disalurkan kedalam air 100% untuk keperluan ikan dan juga nitrifying bacteria.
Bagi mendapatkan kadar pertumbesaran ikan yang tinggi, ikan harus diternak pada tahap kandungan oksigen yang optima !! Sebagai panduan kasar, kandungan oksigen didalam air perlulah tidak kurang dari 5 mg/l. Kandungan oksigen yang rendah dari 5 mg/l akan menyebabkan ikan merasa tertekan, dan para oksigen < 2 mg/l pula boleh menyebabkan kematian ikan. Walaubagaimana pun harus diingat, terdapat juag jenis-jenis ikan yang tidak memerlukan kandungan oksigen yang tinggi, contohnya ikan keli.
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 |
| Bahaya | Awas | Selamat | |||||
Didalam mana-mana jua sistem akuakultur, kita harus ingat bahawa bukan ikan sahaja yang memerlukan oksigen, malahan bakteria dan juga plankton memerlukan jumlah oksigen yang besar! Dekomposisi (pereputan ) bahan-bahan organik (terdir dari algae, bakteria, dan bahan buangan ikan) adalah merupakan proses yang utama menggunakan oksigen didalam sistem akuakultur. Bagi sistem ternakan ikan dalam air pusingan, masalah kekurangan oksigen selalunya berpunca dari pengeluaran ammonia yang tinggi didalam bahan buangan ikan. Penggunaan oksigen oleh nitrifying bacteria yang memecah serta menukarkan bentuk ammonia yang toksik kepada bentuk yang tak-toksik amat bergantung kepada jumlah ammonia yang ada didalam sistem tersebut. Kajian yang dijalankan oleh Meade, 1974, menunjukkan bahawa 4.0 - 4.6 kg oksigen diperlukan bagi mengoksidasikan 1 kg ammonia. Memandangkan terdapat juga bakteria didalam sistem tersebut, ratio 6:1 (oksigen:ammonia) adalah dicadangkan bagi sistem ternakan ikan dalam air pusingan.
Bagi ternakan ikan dalam kolam pula, oksigen didalam air, selain mendapat bekalan dari proses fotosintesis, boleh juga didapati dari udara melalui proses serapan secara langsung dari kawasan permukaan air (air-water interface). Serapan secara langsung tidak akan menambahkan kandungan oksigen didalam air pada paras yang nyata, kecualilah terdapat keadaan permukaan air yang berkocak dan juga berangin. Beberapa cara pengudaraan secara mekanikal boleh dijalankan oleh para penternak. Contohnya:
i Paddlewheels
ii Agitators
iii Vertical sprayer
iv Impellers
v Airlift pump
vi Venturia pumps
vii Liquid oxygen injection
viii Air diffusers
Bagi ternakan ikan dalam air pusingan, peningkatan oksigen hanyalah melalui cara mekanikal, kerana proses fotosintesis tidak berlaku.
Karbon dioksida
Karbon dioksida (CO2) selalu boleh didapati didalam sistem ternakan jika sumber air yang digunakan datang dari kawasan yang berbatu kapur. Jumlah kandungan CO2 pada tahap 10 mg/l masih tidak mendatangkan kesan kepada kehidupan ikan jika pada masa yang sama kandungan oksigen didalam air adalah tinggi. Air kolam yang yang mempunyai kadar penebaran ikan yang biasa, selalunya mempunyai kandungan CO2 sekitar <5 mg/l. Bagi kolam yang mempunyai kepadatan yang tinggi, misalnya bagi ternakan secara intensif, kandungan CO2 adalah pada tahap antara 0 mg/l pada sebelah tengahari dan 5 - 15 mg/l pada waktu subuh ( ingatkan semula proses fotosintesis !!). bagi ternakan secara air kitaran, tahap CO2 adalah lebih tinggi.. Tahap kandungan CO2 > 20 mg/l boleh mendatangkan masalah kepada ikan.
Terdapat dua cara yang boleh diamalkan bagi mengurangkan kandungan CO2. Cara yang paling mudah adalah dengan memberikan pengudaraan "aeration". Dengan cara ini CO2 boleh dibebaskan ke udara. Cara kedua adalah dengan menambah bahan yang terdiri dari "carbonate" contoh nya CaCO3 atau Na2CO3. Cara ini akan menghilangkan CO2 dari air dan menyimpannya didalam bentuk penampan "bicarbonate" atau "carbonate". Kita akan sentuh perkara ini didalam perkara berkaitan dengan alkaliniti!
Ammonia
Secara tabii, ikan akan mengeluarkan ammonia kedalam air dalam bentuk bahan buangan. Didalam semua sistem ternakan akuakultur, terdapat dua bentuk ammonia - "ionized" dan "un-ionized". Bentuk ammonia yang paling toksik adalah ammonia didalam bentuk "un-ionized" (NH3) tetapi ammonia didalam bentuk "ionized" (NH4+) tidak mendatangkan kemudaratan kepada hidupan ikan. Jumlah keseluruhan ammonia adalah (NH3) + (NH4+).Melalui proses semulajadi biologi, ammonia dalam bentuk toksik boleh ditukarkan kepada bentuk nitrat (NO3-) yang tidak toksik malah didalam sistem ternakan dalam kolam, ianya merupakan salah satu dari bahan baja. Proses biologi ini dilakukan oleh bakteria. Bukan semua bakteria mandatangkan masalah !!.
Proses ini dinamakan nitrifikasi dan dapat digambarkan seperti berikut:
NH3 ------nitrosomonas-----> NO2- ------nitrobacter------> NO3- |
Dalam keadaan semulajadi, kandungan ammonia didalam air tasik, empangan dan sebagainya tidak menimbulkan masalah kerana kadar penebaran ikan adalah jauh lebih kecil. Bagi para penternak, kadar penebaran ikan perlu ditingkatkan bagi menentukan ianya akan menjadi lebih ekonomik (lebih banyak ikan lebih pula hasilnya !!). Oleh itu risiko toksisiti ammonia kepada ikan ternakan memang sentiasa ada. Jadual dibawah menunjukkan bagaimana suhu dan pH air boleh mempengaruhi kandungan ammonia didalam air.
Jadual menunjukkan peratus NH3 dari total ammonia pada tahap suhu dan pH air yang berlainan.
| pH | Suhu |
|||||
| 12C | 17C | 20C | 24C | 28C | 32C | |
| 7.0 | 0.2 | 0.3 | 0.4 | 0.5 | 0.7 | 1.0 |
| 7.4 | 0.5 | 0.7 | 1.0 | 1.3 | 1.7 | 2.4 |
| 7.8 | 1.4 | 1.8 | 2.5 | 3.2 | 4.2 | 5.7 |
| 8.2 | 3.3 | 4.5 | 5.9 | 7.7 | 11.0 | 13.2 |
| 8.6 | 7.9 | 10.6 | 13.7 | 17.3 | 21.8 | 27.7 |
| 9.0 | 17.8 | 22.9 | 28.5 | 34.4 | 41.2 | 49.0 |
Bagi menentukan kandungan NH3 , darabkan kandungan total ammonia dengan peratus bagi bacaan suhu dan pH air. Contoh: Tot_ammonia = 1.5 mg/l
pH = 7.4
Suhu = 28.3 C
NH3 = 1.5 x 1.7%
= 0.026 mg/l
Tahap toksisiti NH3 adalah pada 0.02 mg/l dan ia juga bergantung kepada jenis ikan. Bagi ikan yang lebih tahan contoh keli atau tilapia, tahapnya adalah lebih tinggi. Para penternak juga harus mengambil perhatian, bahawa bagi ternakan yang menggunakan sistem air kitaran dan juga bagi kolam tanah yang telah mengalami kematian fitoplankton "plankton die-off" kemungkinan tahap ammonia akan meningkat adalah lebih ketara. Kandungan nitrit yang tinggi, juga adalah merbahaya !. Pada tahap yang toksik, kematian ikan boleh berlaku - "brown-blood disease" -.
Sistem Penampan
Perubahan yang mendadak pada bacaan pH air boleh berlaku dan bagi mengelakkan perkara ini berlaku, adalah penting bagi kita memahami perlunya ada satu sistem yang dapat mengawal perubahan pH air ini. Tanpa sistem penampan, pH air boleh berubah-ubah antara 4 - 5 hingga 9 pada waktu siang, terutamanya semasa proses fotosintesis sedang berlaku dengan giatnya. Dalam sistem ternakan dalam air kitaran, kandungan karbon dioksida yang tinggi juga boleh menyebabkan pH air menurun.
pH air
Kandungan ion hidrogen (H+) dalamair adalah faktor yang menetukan tahap bacaan pH air. Skala yang digunakan bagi mengukur keasidan air dinamakan skala pH dan ianya mempunyai julat 1 - 14 (lihat gambarajah diatas!!). Julat yang sesuai bagi ternakan ikan adalah antara 6.5 - 8.5.
Alkaliniti
Kealkalian air adalah keupayaan air tersebut untuk mengneutraliskan asid tanpa meningkatkan pH air. Parameter ini sebenarnya mengukur kandungan bes - bicarbonate (HCO3-), carbonates (CO3-) dan kadangkala untuk hydroxide (OH-). Alkaliniti keseluruhan (Total alkalinity) ialah jumlah semua HCO3- dan CO3-.
Sistem penampan CO3- adalah penting untuk para penternak tidak kira apa juga sistem ternakan yang digunakan. Dalam kolam tanah, dimana proses fotosintesis adalah merupakan sumber utama untuk oksigen, CO3- dan HCO3- adalah merupakan kawasan penyimpanan untuk CO2. Dengan menyimpan lebihan CO2, sumber CO2 untuk proses fotosintesis tidak akan mengalami kekurangan bahan untuk mengeluarkan oksigen. Juga dengan menyimpan lebihan CO2 pH air tidak akan menyebabkan perubahan yang tinggi. Tanpa adanya sistem penampan ini, CO2 yang terkumpul akan menjadi karbonik asid dan boleh menyebabkan pH air menurun keparas yang rendah pada waktu malam. Pada masa proses fotosintesis sedang rancak berlaku, kesemua CO2 akan digunakan dan ini boleh meningkatkan pH air sehingga ~10. Seperti yang telah diterangkan, bagiternakan ikan, julatnya adalah antara 6.5 ~ 8.5 !!
Bagi sistem ternakan dalam air kitaran pula, proses fotosintesis hampir tidak berlaku. Oleh itu sistem penampan yang effektif perlu diadakan. Bagi mengawal kandungan CO2 menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan pH air menjadi rendah. Adalah di anjurkan agar para penternak dapat menentukan agar alkaliniti air berada pada tahap paling minima 20 mg/l (contoh untuk ikan keli). Kandungan alkaliniti yang lebih tinggi adalah di cadangkan (~ 80 100 mg/l) bagi ikan ikan lain seperti tilapia. Jika bekalan air diterima dari sumber yang mempunyai kealkalian yang rendah pengapuran boleh dijalankan.
Kriteria mutuair yang sesuai bagi ternakan akuakultur. Kandungan adalah dalam unit mg/l.
| Parameter | Julat |
| Ammonia | 0.0125 (bentuk un-ionized) |
| Calsium | 10.0 ~ 160.0 |
| Carbon dioxide | 0 ~ 15 |
| Chlorine | 0.03 |
| Iron (total) | 0.0 ~ 0.5 |
| Nitrate | 0.0 ~ 10 |
| Nitirite | 0.1 (soft water) ; 0.2 (hard water) |
| Oxsigen | > 5.0 |
| PH | 6.5 ~ 8.5 |
| Phosphorus | 0.01 ~ 3.0 |
| Total suspended& settleable solids | < 80 |
| Total alkalinity | 20 ~ 150 |
Sumber bacaan atau rujukan :
Benefield, Lary D., Joseph F.,& Barron L. Weand. 1982. Process Chemistry for Water and Wastewater Treatment, Prentice-Hall, Inc. Englewood, new Jersey. 510 pp.
Boyd, C.E. 1979. Water Quality in Warmwater Fish Ponds. Agriculture Experiment Station, Auburn, Alabama. 359 pp.
------------------------------------------------------------------------------
Copyright © 2003 Freshwater
Fisheries Research Centre.
All Rights Reserved.